Sejarah Puchong Puchong,_Selangor

Puchong telah wujud sekurang-kurangnya lebih dari 120 tahun dahulu dan mendapat namanya sempena sejenis burung yang dikatakan sering memenuhi kawasan tebing sungai dan lombong. Orang Asli pada sekitar tahun 1900 menjadikan burung Puchong tersebut sebagai makanan kegemaran sehinggalah terdapat seorang anak watan Melayu memberi nama kawasan itu yang kekal hingga ke hari ini.

Sungai Kelang merupakan nadi utama bagi Puchong. Puchong mula diteroka apabila beberapa buah estet atau ladang pertanian dibuka secara besar-besaran. Untuk menyokong keperluan buruh yang banyak dalam sektor pertanian, syarikat estet mengambil imigran dari India sebagai pekerja. Tidak lama selepas itu, kawasan pesisir Sungai Klang pula ditemui bijih timah. Kerana industri perlombongan bijih timah, para imigran dari China pula dibawa masuk.

Dikatakan Kuil Hindu di Puchong Batu 12 mempunyai sejarah selama 120 tahun. Manakala bagi SJK (C) Han Ming di Puchong Batu 14, ia telah disahkan mula beroperasi sejak tahun 1921. SJK (C) Sin Ming di Puchong Batu 17 mula beroperasi pada tahun 1934. Terdapat juga Sekolah Melayu yang awal dibina di Puchong iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti yang mula dibuka pada tahun 1946.

Semasa pemberontakan komunis pada tahun 1948, Puchong telah menjadi kawasan hitam dan semua penduduk telah ditempatkan semula ke kawasan yang dikenali sebagai Kampung Baru Batu 14 dengan kawalan pihak Polis.

Penduduk bekerja sebagai penangkap ikan, penoreh getah dan melombong bijih timah. Terdapat beberapa buah syarikat yang mempunyai kapal korek masing-masing. Antara syarikat bijih timah yang pernah beroperasi di Puchong adalah seperti Killinghall Tin Ltd, Hong Kong Tin Ltd, Petaling Tin Ltd, Sungai Klang Dredging dan yang paling besar Ayer Hitam Tin Dredging.

Puchong mula membangun pada tahun 1985 apabila lesen melombong bijih timah tamat dan kemudahan infrastruktur mula dibina kerajaan.

Puchong pada 1980-an

Ekonomi Puchong pada era ini adalah sangat bergantung kepada industri perlombongan (timah & pasir), penorehan getah dan juga pemprosesan serbuk kari. Pada zaman ini pola penempatan Puchong adalah berbentuk sejajar dengan Jalan Puchong. Penempatan ini ditandai dengan "Batu". Penempatan di kawasan Puchong pada zaman itu adalah seperti berikut:

  • Batu 6
    Sekarang kawasan ini merujuk kepada kawasan di sebelah jambatan yang melintasi Lebuhraya Shah Alam, sebelah Kuala Lumpur.
  • Batu 8
    Sekitar kawasan Kinrara dan Taman Pak Siong.
  • Batu 9
    Merupakan kawasan pusat bagi Puchong, dikenali juga sebagai Bandar Puchong Jaya. Puchong Jaya merupakan salah satu susur keluar ke Lebuhraya Puchong-Sungai Besi , Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
  • Batu 11
    Kini masih wujud, merujuk kepada Kampung Melayu berhampiran "Lurah Besar" Puchong, dekat dengan Bandar Puchong Jaya.Di tahun 60an hingga 70an terdapat sebuah kawasan penternakan buaya di Batu 11 Puchong dan pada tahun 70an juga terdapat satu banjir besar telah melanda Puchong.Akibat dari peristiwa banjir tersebut,kebanyakkan buaya buaya yang berada di kawasan Batu 11 Puchong telah terlepas dan mendiami kebanyakkan sungai,lombong dan juga tasik di sekitar Puchong. Ini termasuk juga 'Buaya Puchong' yang mendiami tasik di Kampung Sri Aman. Ramai warga setempat mengatakan yang buaya tersebut terlepas semasa banjir besar pada tahun 70an dan telah mendiami tasik berkenaan.
  • Batu 12
    Pada masa dulu ia adalah pusat bagi penduduk Puchong. Balai polis Puchong asal terletak di sini tetapi sekarang telah dipindahkan ke Bandar Puchong Jaya. Terdapat juga beberapa buah rumah kedai namun telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Damansara Puchong. Kawasan ini sekarang lebih dikenali sebagai Bandar Puteri Puchong. Tepat pada selekoh besar LDP, terdapat kilang traktor. Sekarang pekan Puchong Batu 12 cuma tinggal sebuah Masjid, dan juga rumah JKR.
  • Batu 13
    Merujuk kepada penempatan di tepi Sungai Kelang. Di sini juga ada sebuah kilang kari iaitu kilang Kari Cap Burung.Terdapat 6 buah kampung di Batu 13 Puchong Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Langkas, Kampung Sri Langkas Tambahan,Kampung Sri Aman, Kampung Tengah dan Kampung Kenangan. Diakhir tahun 80an terdapat satu peristiwa buruk dimana sebuah kapal korek dikawasan perlombongan dipuchong telah terbalik,ia berlaku di Batu 13 yang mana sekarang dipanggil sebagai Puchong Permai. 'Buaya Puchong' yang dahulunya menjadi tajuk besar didalam surat khabar juga berasal dari sebuah tasik semulajadi di Kampung Sri Aman Batu 13 Puchong.
  • Batu 14
    Merupakan penempatan tradisi di kawasan Puchong yang dipelihara dengan lengkap. Selain itu tempat ini juga terkenal dengan masakan Hakka Yong Tau Fu.
  • Batu 16
    Sebuah penempatan estet yang telah dibangunkan menjadi kawasan perumahan baru iaitu Bandar Bukit Puchong 1 dan Bandar Puchong Utama.
  • Batu 17
    Merujuk kepada kawasan lombong Ayer Hitam yang merupakan lombong terbesar di Puchong. Dahulu di sini terdapat banyak penempatan penduduk. Namun pada pertengahan 1980-an, apabila lombong ditutup kawasan ini dikenali sebagai bandar hantu sehinggalah kerajaan negeri membangunkan semula kawasan ini kepada pertumbuhan penempatan baru yang dikenali sebagai Putra Perdana, Danau Putra, Aman Putra dan Nusaputra.
  • Batu 18
    Merujuk kepada kawasan sekitar Kampung Pulau Meranti dan kawasan perumahan baru seperti KiPark Puchong,Taman Meranti Indah dan Desaria Kondominium.